Recent update
Jelesnyer ~~~
January 16th, 2007 by inandwan
Kalau dicemburui, tandanya berjaya
oleh Dr HM Tuah Iskandar,dipetik dari http://www.etuah.com/eartikel.php#
Orang cemerlang akan dimusuhi oleh orang tidak cemerlang. Orang
berjaya akan dimusuhi oleh orang yang tidak berjaya. Orang cerdik akan
dimusuhi orang tidak cerdik. Orang baik akan dimusuhi orang tidak baik.
Tuk imam akan dimusuhi kaki judi. Polis akan dimusuhi penjenayah. Orang
kaya akan dimusuhi perompak. Orang cantik akan dimusuhi orang buruk.
Orang hebat akan dimusuhi oleh orang tidak hebat.
Apa nak hairan, sifir kehidupan memang macam tu. Baik lawannya
buruk, neraka lawannya syurga. Kalau anda baik dan anda dimusuhi orang
jahat, itu biasa sebab memang kerja orang jahat memusuhi orang baik.
Tiada orang jahat memusuhi orang jahat. Selalunya orang jahat bergabung
untuk bermusuh dengan orang baik.
Kalau anda berjaya berdiri di puncak, kemudian anda pun
dimusuhi orang, apa nak hairan, memang kebanyakan manusia gagal akan
bertindak begitu. Jarang orang gagal mahu belajar dari kegagalannya.
Jarang orang gagal mahu membina kejayaan setelah menempuh kegagalan,
sebaliknya memang ramai orang gagal sakit hati dengan orang berjaya dan
akan cuba melakukan bermacam-macam perkara untuk menggagalkan orang
berjaya itu.
Saya menerima kes seorang peniaga pasar malam ditimpa sakit
misteri dan dia mengesyaki orang yang menyebabkan dia sakit adalah
rakan niaga di pasar malam yang sama. Masalahnya sebab dia seorang yang
lebih berjaya berbanding rakan niaga tadi. Maka dia pun dimusuhi kerana
kejayaannya itu. Apa nak hairan, memang kebanyakan manusia berperibadi
rendah akan berbuat seperti itu untuk naik mengatasi saingannya.
Seorang guru cemerlang akan dimusuhi oleh guru tidak
cemerlang. Seorang pengetua terbilang akan dimusuhi oleh pengetua tidak
terbilang. Seorang kaunselor yang boleh menyebarkan khidmatnya secara
meluas akan dimusuhi oleh kaunselor yang terbatas bidang tugasnya. Apa
nak hairan, memang manusia begitu. Jarang hendak memperbaiki diri dan
bersaing secara sihat, sebaliknya mencari jalan bagaimana hendak jatuh
menjatuhkan.
Seorang rakan memberitahu saya, suatu hari tatkala dia sedang
makan tauhu sumbat di sebuah gerai, tidak semena-mena keluar beberapa
ekor ulat dari tauhu sumbat itu dan ulat-ulat itu hidup. Macam mana
boleh ada ulat, sedangkan tauhu sumbat itu panas lagi?
Perbuatan siapakah ini? Apakah perbuatan orang yang sama
cemerlang atau mereka yang jauh ketinggalan? Jarang orang yang
cemerlang ada masa untuk melakukan berbagai-bagai perkara untuk
melingkupkan perniagaan orang lain, tetapi selalu berlaku orang yang
ketinggalan ada banyak masa untuk menjatuhkan orang cemerlang itu tadi.
Jika hal semacam ini berlaku ke atas diri anda, usahlah
terlalu kecewa, sebab memang manusia itu macam-macam. Sejak dulu hingga
kini, dunia terpaksa menyimpan orang tidak cemerlang untuk sama-sama
melata di atasnya bersama-sama orang yang cemerlang. Orang tidak
cemerlang tidak akan suka buat apa sahaja yang suka dilakukan oleh
orang cemerlang. Maka orang tidak cemerlang ini akan melakukan
bermacam-macam perkara yang bertentangan. Dia akan menggunakan
bermacam-macam saluran untuk menjatuhkan anda. Dia akan menggunakan
saluran internet, sms broadcasting, akhbar, risalah malah dari mulut ke
mulut.
Apa nak hairan sangat, manusia gemilang lawannya manusia
keciciran. Biarlah mereka terus tercicir dengan pelbagai hal yang bakal
menambahkan lagi dosa mereka sedang anda menerima pahala percuma hasil
perbuatan mereka. Mengapa perlu sakit hati sangat? Tidak perlu, tetapi
teruskan kerja anda, sampai ketikanya nanti anda semakin berada di
puncak sedangkan dia semakin jauh di jurang yang dalam.
Posted in ~~ Artikel Besh ~~ | | | 2 Comments
